Friday, March 13, 2015

Adira Doakan Kebahagiaan Hafiz Suip, Tidak Mempunyai Masalah Dengan Hafiz


Walaupun pernah menyulam sejarah percintaan bersama penyanyi Hafiz Suip, 25, Adira menjelaskan bahawa itu merupakan sejarah lama dan kini masing-masing sudah dewasa dan matang dalam menempuhi ranjau kehidupan. Adira turut memberitahu bahawa dia mendoakan agar pasangan Hafiz dan Nureffy Jasreel, 22, kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

"Saya gembira untuk dia kerana telah berjumpa wanita yang betul-betul sesuai untuk dijadikan teman hidup. Saya doakan yang terbaik dan berharap hubungan itu hingga ke akhir hayat," katanya yang ditemui semasa penggambaran klip video 'Untuk Cinta' OST filem Pilot Cafe.

Sementara itu, Adira turut memberitahu bahawa kekasihnya iaitu Shahrul Nasrun memahami dan tidak cemburu apabila digandingkan semula bersama bekas kekasihnya Hafiz untuk lagu duet baru mereka iaitu 'Untuk Cinta'.

"Setakat ini dia tiada masalah dengan kerja saya dan faham apa yang saya lakukan ini adalah atas dasar profesional. Saya pun tidak fikir apa-apa melainkan tentang kerja sahaja," tambahnya.

Adira turut menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan Hafiz dan boleh melakukan kerja secara profesional dan berazam untuk melakukan yang terbaik seperti mana yang ditunjukkan keserasian mereka dalam lagu hits 'Ombak Rindu'.

"Kami masih boleh berkawan dan tiada masalah untuk bekerjasama secara profesional kerana bagi saya ini adalah kerja. Keserasian kami juga masih sama macam dulu, malah kali ini kami buat lebih baik daripada lagu Ombak Rindu," katanya.







No comments:

Related Posts with Thumbnails