Tuesday, April 29, 2014

22 April 2014: Minggu Setiausaha Bersama Hafiz









Source : http://www.gua.com.my/gambar-gua

Hafiz Buat Kejutan Bermain Piano


Mempersembahkan hanya 4 buah lagu solo untuk minggu setiausaha yang diberi nama 'A Golden Moment with Hafiz', Hafiz Suip mengakui yang dia tidak begitu puas membuat persembahan, namun segalanya telah ditetapkan oleh pihak pengurusannya.

"Sebenarnya jika mengikut kepuasan, saya tidak puas lagi kerana hanya menyampaikan empat buah lagu solo, namun segalanya telah ditentukan oleh pihak pengurusan. Namun saya begitu teruja kerana buat julung kalinya saya membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha.

Hari ini saya baru merasai bagaimana menjadi seorang penghibur. Sebagai penghibur saya belajar yang pentingnya komunikasi bersama penonton. Selain itu, kita perlu bertindak serta berfikir dengan pantas mengikut keadaan," ujar Hafiz ketika usai persembahan di Menara MATRADE, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Selasa.


Hafiz telah menghiburkan penonton yang hadir menerusi lagu pembukaan iaitu 'Awan Nano'. Dia turut menyanyikan medley lagu-lagu Allahyarham Sudirman iaitu 'Pelangi Petang', 'Terasing ' dan 'Salam Terakhir'.

Bagaikan tidak boleh dipisahkan dengan Adira, persembahannya kali ini sekali lagi menyaksikan Hafiz menyampaikan lagu 'Muara Hati' dan 'Ombak Rindu' bersama teman duetnya itu.


Hafiz berjaya mendapat sorakan gemuruh apabila membuat kejutan dengan menyanyikan lagu 'All of Me' yang dipopularkan oleh John Legend. Dia memilih untuk menyanyi sambil bermain piano yang baru dipelajarinya melalui media sosial Youtube.

"Itu merupakan salah satu kejutan yang saya rancang untuk peminat yang hadir. Saya belum pernah membuat persembahan dengan bermain sebarang alat muzik dan ini merupakan kali pertama saya menyanyi sambil bermain piano. Saya tidak mahu majlis ini kelihatan terlalu formal mengikut protokol sebaliknya mahu agar ia menjadi santai. Saya harap semua gembira dan berpuas hati dengan persembahan saya pada hari ini. Terkejut juga apabila melihat sambutan cukup memberangsangkan," ujar Hafiz.



Sementara itu, pasangan duetnya Adira turut menyampaikan dua buah lagu solo iaitu, 'Ilusi' dan 'Dewi Cinta'. Afdlin Shauki bertindak sebagai pengacara majlis.


HAFIZ JAWAB DAKWAAN AMBIL DADAH, AMAL ILMU HITAM

Kredit foto Suhaizul Izhar

Selepas mengecapi satu kejayaan ke satu kejayaan sejak tahun lalu hingga kini, penyanyi Hafiz Suip sememangnya cukup dikagumi dan menjadi kebanggaan ramai. Selain Hafiz kini dilihat semakin selesa dengan imej rambut barunya, jejaka berusia 24 tahun ini sekarang kelihatan semakin kurus. Lantaran timbul desas desus ada pihak yang mendakwa Hafiz terlibat dalam pengambilan dadah.

Berkesempatan bertemu dengan tuan empunya badan pada persembahan sempena Minggu Setiausaha, 'A Golden Moment with Hafiz' di Pusat Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur semalam, anak kelahiran Kuching Sarawak ini diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Hafiz memberitahu dia memang dalam proses mengurangkan berat badan kerana mahu menjaga imej dan penampilannya di samping kesan daripada letih bekerja. Bahkan Hafiz berani dan bersedia untuk menjalani ujian air kencing demi membuktikan dia berseih daripada sebarang pengambilan dadah.

"Bila orang tengok kita gembira, mulalah mereka tak senang dengan kita. Kenapa saya nak kena ambil dada kalau saya tahu yang dadah itu sendiri akan membunuh karier kita. Impak dan kesan pengambilan dadah itu sangat dahsyat. Kenapa saya nak rosakkan diri saya dengan melakukan perkara sebegitu?

"Kalau ada pihak yang mendakwa saya mengambil dadah, saya bersedia untuk membuat ujian urin, saya berani katakan yang saya bersih," tegasnya.

Tidak setakat dakwaan ambil dadah, timbul pula dakwaan kononnya segala kejayaan yang dikecapi hari ini bukan atas usaha gigihnya selama ini sebaliknya dengan cara menggunakan ilmu sihir. Senang kata, Hafiz mengamalkan ilmu hitam untuk mendapatkan tawaran nyanyian juga memenangi pelbagai anugerah.

"Saya amalkan ilmu hitam? Itu mengarut! Bagi saya kalau saya nak cari rezeki biarlah cara yang betul dan diberkati. Kalau saya gunakan ilmu hitam, saya rasa hari ini saya tak jadi penyanyi. Mak ayah saya berpesan, kalau nak sesuatu itu biar atas daya usaha kita sendiri. Apa yang saya kecapi ini atas usaha gigih saya sendiri," kata Hafiz sekaligus menyangkal dakwaan tersebut.

Bagaimanapun kata Hafiz, dia tidak marah dengan dakwaan tersebut sebaliknya menganggap itu adalah lumrah.

"Biasalah... manusia ni kadang-kadang tak boleh tengok orang lain senang. Mulalah timbul buruk sangka dan andaian yang bukan-bukan terhadap kita," ujarnya sambil tersenyum.

Sementara itu, Hafiz turut meluahkan rasa puas hatinya kerana berjaya menghiburkan kira-kira 400 penonton pada persembahan 'A Golden Moment with Hafiz'. Ini merupakan persembahan minggu setiausaha yang pertama kali buat Hafiz.


Pada persembahan yang dihoskan oleh penghibur serba boleh Afdlin Shauki itu, Hafiz mendendangkan lagu seperti 'Awan Nano', medley lagu-lagu Allahyarham Sudirman Hj Arshad iaitu 'Pelangi Petang', 'Perpisahan Terasing' dan 'Salam Terakhir' serta lagu cover 'All of Me' (nyanyian John Legend). Selain itu, Hafiz turut menampilkan Adira dan mereka menyanyikan dua lagu duet, 'Ombak Rindu' dan 'Muara Hati'.

Tambah mencuri tumpuan, Hafiz turut mempamer kebolehannya bermain piano sambil mendendangkan lagu cover 'All of Me' (nyanyian John Legend).

"Ini persembahan sempena minggu setiausaha saya yang pertama kali. Rasa bersyukur dan gembira kerana saya dapat menghibur peminat-peminat saya pada hari ini (semalam). Hari ini baru sya rasa benar-benar sebagai seorang penghibur. Tetapi saya akui, ada banyak lagi kelemahan yang harus saya perbaiki.

"Saya tak sangka sambutan peminat begitu menggalakkan. Saya tak nafikan saat dikerumuni peminat tadi (semalam) saya berasa gementar hingga saya hampir terlupa lirik. Tapi saya gembira kerana dapat membuat mereka semua terhibur," katanya yang turut mengaku teman wanitanya (enggan dikenali nama) juga hadir menyaksikan persembahannya.




















Hafiz Suip Terkejut Dituduh Guna Bomoh


KUALA LUMPUR : Penyanyi Hafiz Suip terkejut dituduh menggunakan khidmat bomoh bertujuan untuk memenangi sesebuah acara atau menarik minat orang ramai.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, mengakui dia memang pernah mendengar tuduhan itu namun tidak mengendahkannya kerana dia mengetahui amalan itu adalah syirik.

"Saya tidak akan melakukan perkara sebegitu (amalan ilmu hitam) kerana sudah pasti saya tahu ia adalah satu dosa besar.

"Tambahan pula saya mencari rezeki untuk keluarga, takkanlah saya nak buat perkara yang dilarang agama? Kejayaan saya selama ini kerana keberkatan doa ibu dan ayah saya selain kerja keras yang saya lakukan," katanya.


Hafiz ditemui selepas persembahannya pada majlis minggu setiausaha A Golden Moment with Hafiz di Matrade Exhibition & Convention Centre, Jalan Duta, di sini pada Selasa.

Bagaimanapun tambah Hafiz, dia terpaksa akur sekiranya masih ada pihak yang beranggapan sedemikian kerana dia percaya tidak semua orang menyenangi kejayaan seseorang.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia sering mengamalkan beberapa doa yang terdapat dalam Al-Quran sebelum memulakan sesebuah persembahan pentas.

Dia sering berasa gemuruh sebelum memulakan persembahan dan bacaan doa tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah berkenaan.

"Kalau nak tahu, setiap kali ingin mengadakan persembahan, saya akan mengalami rasa gemuruh sehingga sakit perut jadinya.

"Alhamdulillah doa itu memberi saya sedikit kelegaan dan perasaan gemuruh akan berkurangan apabila naik ke pentas," tuturnya.

Sementara itu, mengenai persembahan A Golden Moment with Hafiz, Hafiz telah berjaya menghiburkan seramai 400 orang tetamu dengan membawakan sebanyak empat buah lagu solo iaitu Awan Nano, All of Me, Bahagiamu Deritaku dan dua lagu duet bersama penyanyi Adira iaitu Ombak Rindu serta Muara Hati.

Afdlin Shauki turut terlibat sebagai hos majls berkenaan.




Thursday, April 3, 2014

Hafiz Suip Mahu Bawa Polaroid Demi Peminat


Pertama kali diberikan kepercayaan untuk mengendalikan persembahan Minggu Setiausaha yang dinamakan 'A Golden Moment with Hafiz', Hafiz Suip tidak ralat digandingkan dengan bekas kekasihnya, Adira untuk majlis tersebut.

"Kita bekerja dalam industri yang sama jadi tidak kira apa, kita akan tetap berjumpa. Selama berkawan kami mengekalkan hubungan profesional ketika bekerja, malah Adira juga bijak membahagikan antara kerja dan perkara peribadi.

Teman wanita saya juga dapat menerima hakikat ini kerana dia tahu saya bekerja bagi mencari rezeki untuk membantu keluarga. Bagi saya, perkara yang lepas usah dikenang malah saya dan teman wanita pernah terserempak dengan Adira ketika keluar bersama," ujar Hafiz ketika ditemui di sesi fotografi di Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya, petang Isnin.

Penyanyi berusia 24 tahun ini bakal menyampaikan dua buah lagu duet bersama Adira iaitu 'Salahkah' dan 'Ombak Rindu'. Manakala untuk persembahan solo, Hafiz bakal menyanyikan lapan buah lagu yang merangkumi lagu-lagu lama dan baru.


Mengakui namanya tidak gah seperti artis-artis yang seringkali membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha, Hafiz menerima tawaran yang diberikan untuk menimba pengalaman sebagai seorang penyanyi.

"Saya sememangnya berdebar-debar untuk membuat persembahan pada 22 April nanti kerana saya bukan sekadar menyanyi tetapi perlu bijak berkomunikasi dengan penonton-penonton yang hadir. Saya akui kebolehan komunikasi saya agak lemah, jadi saya mengambil perkara tersebut sebagai cabaran untuk saya perbaiki.

Saya turut membuat sedikit kajian bagaimana untuk mengendalikan sesuatu majlis dengan baik. Malah saya turut merancang untuk bergambar menggunakan 'polaroid' bagi mengabdikan kenangan bersama peminat-peminat yang hadir," ujar Hafiz.

Mengulas sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai ragam peminat yang hadir nanti, Hafiz dengan tenang menjawab yang dia bersedia untuk berhadapan dengan situasi itu. Walaupun bersifat terbuka, namun Hafiz menegaskan yang perlu ada batasan di sebalik keterbukaan tersebut.

"Walaupun terbuka untuk bergaul serta bergambar, namun segalanya harus tidak melampaui batas. Pucuk pangkalnya kena beringat kepada agama kita," katanya.

Selain itu, Hafiz turut berkongsi yang dia bakal membuka sebuah restoran yang diberi nama 'Thymes' bersama rakan baiknya. Dia merancang untuk mengadakan majlis pelancaran restoran tersebut pada hujung bulan April ini.


Hafiz Suip Kecewa Isu Tidak Muncul Di MHI Diperbesar


PETALING JAYA : Penyanyi Hafiz Suip berasa kecewa apabila isu kelewatannya menghadiri program siaran langsung TV3, Malaysia Hari Ini (MHI) beberapa minggu lalu diperbesar-besarkan.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, isu tersebut tidak patut dijadikan sebagai bahan gosip memandangkan ia telah diselesaikan menerusi cara baik dengan pihak produksi program berkenaan.

"Diakui memang saya lambat ke program itu tetapi ia tidak sepatutnya jadi isu kerana saya telah meminta maaf kepada seluruh produksi.

"Malah isu itu sudah selesai. Saya kecewa apabila ada pihak yang sengaja mahu jadikan ia jadi bahan berita," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad.

Sebuah akbar mingguan pada Ahad melaporkan Hafiz gagal menghadirkan diri ke sesi temu bual khas di MHI bagi mempromosikan projek Minggu Setiausaha A Golden Moment with Hafiz yang bakal diadakan di Dewan Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Jalan Duta di sini pada 22 April depan.

Hafiz dikatakan menyebabkan seluruh produksi kelam-kabut memandangkan waktu slot itu diberikan khas kepadanya dan ia membuatkan penerbit program itu terpaksa menukar pengisian program itu serta-merta.

Sementara itu, Hafiz menyifatkan kejadian itu merupakan kesilapan normal yang dilakukan oleh sesiapa sahaja walaupun ia bukan dilakukan dengan sengaja.

Dalam pada itu, sebagai seorang penyanyi profesional, Hafiz berkata, dia tidak pernah merosakkan reputasinya dengan menimbulkan masalah sikap tidak berdisiplin.

"Diakui, sebagai manusia biasa, saya bukannya sempurna, ada masanya kita melakukan kesilapan.

"Tetapi saya bukan seorang penyanyi yang suka melanggar disiplin. Seboleh-bolehnya saya akan tepati masa agar tidak menyusahkan pihak lain. Cuma apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar jangkaan," katanya.



Related Posts with Thumbnails