Thursday, April 3, 2014

Hafiz Suip Mahu Bawa Polaroid Demi Peminat


Pertama kali diberikan kepercayaan untuk mengendalikan persembahan Minggu Setiausaha yang dinamakan 'A Golden Moment with Hafiz', Hafiz Suip tidak ralat digandingkan dengan bekas kekasihnya, Adira untuk majlis tersebut.

"Kita bekerja dalam industri yang sama jadi tidak kira apa, kita akan tetap berjumpa. Selama berkawan kami mengekalkan hubungan profesional ketika bekerja, malah Adira juga bijak membahagikan antara kerja dan perkara peribadi.

Teman wanita saya juga dapat menerima hakikat ini kerana dia tahu saya bekerja bagi mencari rezeki untuk membantu keluarga. Bagi saya, perkara yang lepas usah dikenang malah saya dan teman wanita pernah terserempak dengan Adira ketika keluar bersama," ujar Hafiz ketika ditemui di sesi fotografi di Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya, petang Isnin.

Penyanyi berusia 24 tahun ini bakal menyampaikan dua buah lagu duet bersama Adira iaitu 'Salahkah' dan 'Ombak Rindu'. Manakala untuk persembahan solo, Hafiz bakal menyanyikan lapan buah lagu yang merangkumi lagu-lagu lama dan baru.


Mengakui namanya tidak gah seperti artis-artis yang seringkali membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha, Hafiz menerima tawaran yang diberikan untuk menimba pengalaman sebagai seorang penyanyi.

"Saya sememangnya berdebar-debar untuk membuat persembahan pada 22 April nanti kerana saya bukan sekadar menyanyi tetapi perlu bijak berkomunikasi dengan penonton-penonton yang hadir. Saya akui kebolehan komunikasi saya agak lemah, jadi saya mengambil perkara tersebut sebagai cabaran untuk saya perbaiki.

Saya turut membuat sedikit kajian bagaimana untuk mengendalikan sesuatu majlis dengan baik. Malah saya turut merancang untuk bergambar menggunakan 'polaroid' bagi mengabdikan kenangan bersama peminat-peminat yang hadir," ujar Hafiz.

Mengulas sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai ragam peminat yang hadir nanti, Hafiz dengan tenang menjawab yang dia bersedia untuk berhadapan dengan situasi itu. Walaupun bersifat terbuka, namun Hafiz menegaskan yang perlu ada batasan di sebalik keterbukaan tersebut.

"Walaupun terbuka untuk bergaul serta bergambar, namun segalanya harus tidak melampaui batas. Pucuk pangkalnya kena beringat kepada agama kita," katanya.

Selain itu, Hafiz turut berkongsi yang dia bakal membuka sebuah restoran yang diberi nama 'Thymes' bersama rakan baiknya. Dia merancang untuk mengadakan majlis pelancaran restoran tersebut pada hujung bulan April ini.


No comments:

Related Posts with Thumbnails